Category: General Posted by: Raja Petra
DARI JELEBU
Hishamuddin Rais
Pada 30hb Ogos 2005 dahulu harga minyak telah melintasi 80 dolar satu tong. Bulan Ogos 2007 ini nampaknya lonjakan kenaikan harga bahan bakar petrol ini sedang berulang lagi. Semasa saya menulis ini, harga minyak telah mencecah 76 dolar satu tong.
Trend ini berlaku kerana beberapa perkara. Musim panas di hemisfera utara menambahkan penggunaan minyak yang tinggi. Lebih banyak kereta-kereta bergerak di jalan raya kerana percutian di musim panas. Penggunaan alat penghawa dingin juga memerlukan pertambahan tenaga bahan bakar ini.
Tetapi ada satu lagi perkara yang masih belum disedari oleh umum atau tidak mahu disedari umum. Perkara ini ialah semakin berkurangnya bahan bakar minyak yang dapat dibeli di pasaran dunia. Inilah sebab utama di mana semenjak tahun 2005 dahulu hingga ke hari ini harga bahan bakar petroleum tidak pernah surut ke bawah 50 dolar setong.
Hari ini penggunaan bahan bakar ini masih lagi di tahap kira-kira 84 juta tong sehari. Permintaan tahun demi tahun semakin bertambah. Negara seperti China dan India semakin banyak mengeluarkan kereta untuk kegunaan domestik. Semua ini memerlukan bahan bakar.
Hari ini statistik menunjukkan di negara China ada 70 buah kereta untuk seribu warga. Di India mungkin sedikit kurang. Manakala di Eropah 680 buah kereta dan di Amerika ada 860 buah kereta untuk 1000 warga. Apa akan terjadi apabila bertambahnya keinginan warga negara China atau India untuk memiliki kereta persendirian.
Pertumbuhan ekonomi di China akan memastikan yang permintaan domestik perlu di selesaikan. Bulan Ogos 2007 ini, China telah menjadi negara ke-3 terbesar sebagai pengeluar automobil. China telah menundukkan Jerman. Manakala Amerika dan Jepun masih di tangga teratas. Dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih dari 11% setahun, China hari ini telah berjaya mengeluarkan 7 juta automobil manakala Jerman hanya berjaya mengeluarkan 5.8 juta
China pula bukan negara pengeluar minyak. Pada tahun 2020 telah diramalkan yang China perlu mengimport 60% bahan bakar petroleum untuk keperluan negara. Ini perlu dibeli, dicari dan digali oleh China di pasaran terbuka dunia. Rentetan pertumbuhan ekonomi seperti ini akan memastikan harga minyak terus naik.
Di dalam kes bahan bakar minyak, ianya tidak dapat dikaji dengan menggunakan teori klasik permintaan-pengeluaran. Biasanya jika banyak pengeluaran maka harga akan merudum. Jika pengeluaran kurang maka harga akan naik. Apabila harga naik ianya akan menjemput bertambahnya pengeluaran. Dalam kes minyak, teori klasik - supply and demand - tidak boleh dipakai. Ini kerana bahan bakar minyak ini akan terus menerus berkurangan tanpa mengikut arus permintaan. Permintaan akan terus bertambah tanpa bertambah pengeluaran.
Agensi-agensi berita pada minggu lalu telah memetik laporan National Petroleum Council Amerika yang menyatakan bahawa pengeluaran minyak di dunia telah merosot 1.2 juta tong sehari berbanding dengan pengeluaran pada bulan Julai 2005. Ini berdasarkan statistik rasmi dari pentadbiran George Bush.
Laporan dari NPC ini juga telah mengumpulkan data dari 12 syarikat gergasi minyak dunia yang meramalkan bahawa syarikat-syarikat ini hanya berupaya mengeluarkan minyak sebanyak 105-110 juta tong sehari pada tahun 2030. Jumlah yang diramalkan ini adalah 11% lebih rendah dari 118 juta tong sehari yang diperlukan. Laporan yang akan menakutkan ini telah diterima oleh Setiausaha Tenaga Amerika Samuel Brown.
Satu tahun dahulu negara kita telah merasakan bahang kenaikan harga minyak. Kenaikan ini telah menjadi heboh. Ada yang mengatakan bahawa kenaikan ini tidak patut. Ada yang menuntut agar harga ini diturunkan. Dan ada yang meminta agar subsidi minyak perlu ditambah.
Apabila harga bahan bakar naik bermakna semua harga barang-barang akan naik. Ini kerana minyak adalah bahan asas yang mengerakkan sistem ekonomi. Dalam ekonomi pasaran bebas mengongkong harga akan membawa bencana yang besar. Subsidi juga bukanlah jawapan kepada krisis tenaga yang sedang dan akan kita hadapi ini. Malah subsidi minyak akan menempangkan perjalanan ekonomi.
Cakap-cakap dari pihak kerajaan untuk membawa satu perubahan gaya hidup masih jauh dari dapat direalisasikan. Memang betul, saya ternampak ada pertambahan bas-bas di dalam kota Kuala Lumpur. Saya tidak tahu apakah ada juga pertambahan bas-bas pengangkutan awam di pekan dan bandar-bandar lain. Mungkin ada dan mungkin tidak. Ini kerana saya tidak ada terbaca apa-apa laporan tentang hal ini di media.
Dasar penambahan bas awam ini untuk saya adalah langkah yang tepat tetapi hanya langkah sementara. Apa yang diperlukan adalah satu dasar sistem pengangkutan awam yang menyeluruh. Setiap pekan kecil dan kampung perlu dijaringkan oleh sistem pengangkutan awam. Ini untuk menjimatkan kos pengangkutan. Penggunaan kereta persendirian ini adalah perbuatan yang paling tidak ekonomik dan membazir. Pembakaran petrol untuk sebuah kereta dengan seorang pemandu adalah pembaziran. Bahan bakar yang sama - sebuah kereta satu pemandu - boleh mengangkut lima atau enam orang penumpang.
Membina dan menggunakan jaringan sistem pengangkutan awam sebanyak mungkin adalah satu contoh ‘mengubah gaya hidup’. Lari dari sistem pembaziran kepada sistem yang lebih kemas, tersusun dan ekonomik. China, Malaysia, India atau negara-negara lain yang berniat hendak mengikut gaya hidup Amerika atau meneruskan gaya hidup seperti hari ini, perlu berfikir sekali lagi. Jika gaya hidup Amerika menjadi kiblat, maka kita memerlukan empat buah lagi planet bumi untuk menampung keperluan bahan bakar. Ini satu harapan yang mustahil kerana kita hanya memiliki sebuah bumi.
Kini timbul khabar-khabar angin dan kenyataan terbuka dari pelbagai jenis/bentuk individu yang menyatakan bahawa jika minyak petrol habis kita memiliki biodiesel sebagai gantinya. Kita juga boleh menggantikan petrol dengan minyak soya, ethonol, butanol atau alkohol dari tebu. Ini sebenarnya dongeng. Tebu, sawit, soya dan semua bentuk tanaman memerlukan baja. Baja adalah hasil sampingan dari petroleum.
Persoalan akan timbul, apakah tanah subur di bumi ini hanya akan digunakan untuk menanam tebu, sawit dan soya? Bagaimana dengan makanan yang lain. Apakah semua bahan tanaman untuk dijadikan makanan kereta? Kini, krisis telah mula timbul dan didengar di Amerika Latin akibat dari tanah-tanah yang semakin banyak digunakan untuk menanam soya. Soya ini bukan untuk dimakan tetapi untuk dijadikan bahan bakar.
Justeru, semua cakap-cakap tentang adanya gantian kepada bahan bakar petrol ini hanyalah cerita-cerita dongeng. Dongeng ini terus ditaburkan oleh syarikat pembuat automobil. Mereka ini ingin terus menjual kereta walhal mereka juga sedar bahan bakar petrol ini telah susut dan berkurangan.
Tamadun kita hari ini ialah tamadun petroleum. Sama seperti tamadun zaman batu, zaman gangsa, zaman arang - semuanya berakhir. Apabila zaman batu berakhir tidak semestinya batu tidak wujud lagi. Apabila zaman arang berakhir tidak bererti arang telah tidak ada lagi. Begitu juga dengan zaman petroleum, ia akan berakhir tetapi petroleum masih ada saki-bakinya di perut bumi tetapi untuk mendapatkannya telah menjadi begitu susah dan tidak ekonomik.
NOTA : Sila ambil perhatian, satu permulaan untuk mengubah cara hidup ialah dengan menggunakan basikal.
Tunggang Basikal Anda (TUBA) akan memulakan kempen untuk menaikkan kesedaran berbasikal. Pada petang Jumaat 27 Julai 2007 ini semua pembaca/peminat laman web dan blog di jemput datang ke Pasar Seni a.k.a. Central Market dengan membawa basikal. Berkumpul di hadapan Pasar Seni pada jam 6.00. Kemudian kita semua akan berbasikal dan bercanda-canda mengelilingi kota Kuala Lumpur seperti yang telah dilakukan oleh datuk, nenek, ayah dan emak kita satu ketika dahulu. Tinggalkan kereta di rumah dan selamatkan bahan bakar minyak petrol. Bersama kita ubah cara hidup.
Monday, July 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment